BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 1, 2010

~suaraku berharap~

bertanya hati pada bintang
apa rahsia tentang malam
bertaut kasih pada sayang
dalam hati paling dalam..

berkata hujan pada awan
mengapa dicurah kasihnya sayang
soalnya hati pada badan
mengapa denyutan bertambah kencang..

................................
bisikan cinta seindah rasa
terpahat utuh dalam jiwa
dalam hati ada cinta
dalam cinta ada sang Pencipta..

Friday, October 8, 2010

i'm BACK !!!

Sudah lama rasanya jari ini tidak memotret di ruangan ini..byk perkara yang telah berlaku di dalam hidupku hinggakan tidak sempat utk meluangkan masa di sini. Perjalanan hidup lebih teratur dan bertambah bahagia menjalani kehidupan seharian. Insan2 tersayang juga memberi lebih sokongan kali ini. Rasa hidup makin bermakna. Mama, abah, abang, kak jah n adik. Tuan Khairol Eaznie. Terima kasih sebab menjadi insan yang paling memahami di dunia ini.

Insya Allah , pada masa2 akan datang aku akan merakamkan isi ati di ruangan ini.. diharapkan hari2 akan datang menjadi lebih ceria dan berharga..
Sekian dahulu..

Bisikan rasa luahan cinta ,
Moga abadi di dalam jiwa.

Thursday, March 25, 2010

nyanyian adik2

lihatlah, lihatlah di langit biru
burung berterbangan berkawan-kawan
riangnya, riangnya rasa hatiku
inginku bersama tinggi di awan...

Monday, January 18, 2010

catatan pengalaman sepanjang Ekspedisi Meneladani Pemikran Hamka

29/12/2009

Hari ini saya dan aktivis lain bangun seawall jam 3.00 pagi dan bersiap untuk ke Terminal LCC di Kuala Lumpur. Kami bersesak-sesak menaiki sebuah van dan tiba di sana untuk berlepas ke Padang, Indonesia. Kami check-in barang dan terus menunaikan solat subuh di sana. Kapal terbang berlepas pada jam 7.00 pagi waktu Malaysia. Kami tiba di Bandar Udara Minangkabau, Padang, Indonesia pada jam 9.05 pagi waktu Indonesia Barat. Rombongan kami disambut oleh Abang Fauzan dan Renal dari Dewan Dakwah. Seterusnya kami dibawa ke Pejabat Dewan Dakwah dan kami menjamu sarapan pagi di warung berhampiran. Kami menikmati lontong yang berharga Rp 3500.

Selepas menunaikan solat zohor, kami para aktivis telah ke Pariaman untuk meninjau keadaan di sana. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat memotret foto untuk dijadikan kajian.sesampainya kami di sana, kami sempat untuk bersama dengan beberapa mahasiswa Indonesia untuk mengajar kanak-kanak mangsa gempa. Bagi saya ini adalah pengalaman baru untuk dijadikan sebagai panduan kelak.

Selepas solat maghrib, kami menikmati makan malam dan seterusnya ada forum diskusi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Ucapan alu-aluan telah diulakan oleh Saudara Renal dan seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan pengenalan daripada Encik Izwan Suhadak tentang organisasi penubuhan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD). Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tuan rumah dan forum diskusi dimulakan.

Saya sendiri kagum dengan cara mahasiswa dari Indonesia membahaskan sesuatu masalah dan mengajak kami mencari resolusi bersama. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah pola hidup masyarakat, aspek-aspek masalah pendidikan di Malaysia diselesaikan dan cara pendidik untuk timbulkan rasa cintakan sejarah. Selain itu mereka juga ada menanyakan tentang reaksi mahasiswa Malaysia dengan pemerintah serta berlakukah demonstrasi antara mahasiswa. Alhamdulillah, segala persoalan dapat dijawab dengan baik walaupun agak mencabar pemikiran kami.

Pada jam 10.30 malam waktu Indonesia Barat, forum diskusi tamat dan kami bergerak ke tempat penginapan di LPMP. Kami merehatkan diri dan menunggu untuk agenda seterusnya pada esok pagi.


30/12/2009

Pada pagi ini kami bangun dan membersihkan diri seterusnya nsolat subuh. Selepas solat subuh, kami bersiap-siap untuk meninjau kawasan sekitar Padang. Pertamanya kami aktivis wanita dibawa oleh Renal melalui pantai sesuai dengan perjanjiannya bersama kami. Selepas itu, perut yang berkeroncong diisi dengan sarapan nasi goring yang enak di warung sekitarnya. Selesai bersarapan, kami para aktivis bersama Abang Fuazan dan Renal selaku pemandu arah kami ke Teluk Bayur. Perjalanan ke Teluk Bayur memakan masa selama hampir sejam.

Masya Allah. Pemandangan di Teluk Bayur tersangat cantik. Kami melihat keagungan ciptaan Allah dan merasa betapa kerdilnya hidup sebagai manusia di muka bumi ini. Di Teluk Bayur kami dapat melihat keindahan alam semulajadi yang tidak tercemar dan kawasan ini telah dijadikan tempat kapal berlabuh serta bagi pendapat saya sendiri ia sesuai dijadikan kawasan pelancongan. Di kawasan Pantai Teluk Bayur terdapat satu pelabuhan dan perkampungan nelayan. Ini adalah salah satu punca pendapatan penduduk di Teluk Bayur.

Kami tinggalkan Teluk Bayur dengan kenangan dan bergerak ke Kota Padang untuk melihat kawasan-kawasan yang musnah ditimpa gempa. Kamera-kamera kami ligat memotret foto untuk dijadikan kenangan. Sepanjang perjalanan menelusuri Kota Padang, saya berfikir tentang keagungan Allah yang menjadikan sesuatu perkara itu bersebab. Menurut Abang Renal, tidak semua bangunan itu runtuh kerana susur atur permukaan bumi di kawasan Padang secara geografinya tidak rata.

Saya tertarik dengan ceritanya yang menggambarkan situasi gempa yang dilaluinya. Renal menceritak an sewaktu gempa dia sedang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di tingkat dua. Kejadian berlaku dengan serta merta dan semua orang berlari menyelamatkan diri. Bangunan itu telah runtuh dan tingkat bawah bangunan itu telah hancur secara keseluruhannya dan digantikan dengan tingkat 2 sebagai ganti.

Selepas itu kami melalui Jambatan Siti Nurbaya kebanggaan masyarakat di situ. Jambatan itu menjadi penghubung antara kawasan perkampungan melayu dan cina. Di atas jambatan itu kami melihat panorama perkampungan dan deretan rumah-rumah di atas bukit. Setiap tahun pada hari kebangsaan Indonesia 17 Ogos, masyarakat di situ akan mengadakan lumba perahu naga bagi menyemarakkan lagi semagat kebangsaan mereka serta membina hubungan silaturahim antara kaum melayu dan cina di situ. Selain itu, mereka juga menerima penyertaan dari negara ASEAN.

Jambatan Siti Nurbaya ini membawa kisahnya yang tersendiri iaitu dahulunya terdapat seorang gadis minang yang dikahwin secara paksa dengan seorang juragan padahal dia tidak mahu berbuat demikian kerana dia mempunyai seorang kekasih. Dia telah memberi tempoh masa untuk kekasihnya melamar tetapi dia tidak mendapat sebaranbg petanda bahawa kekasihnya akan mengambil sebarang tindakan. Menjelang hari pernikahannya dengan juragan itu, akhirnya gadis itu mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana cinta pada kekasihnya dan juragan itu tidak dapat berkahwin dengannya. Ada cerita yang menyatakan bahawa mayat Siti Nurbaya dikebumikan di puncak gunung. Begitulah ceritanya.

Jambatan Siti Nurbaya kami tinggalkan dan kami meneruskan perjalanan melewati Pantai Padang untuk ke Kedai Buku untuk membeli peta Sumatera Barat. Sampai di kedai buku kami melihat buku-buku yang berkenan seterusnya pulang ke tempat penginapan dan mengemas barang serta menunaikan solat zohor. Semasa menunggu untuk makan tengahari, kami aktivis wanita dibawa oleh Renal ke Universitas Bung Hatta dan melihat kawasan university tersebut. Selepas makan tengahari, kami ke Universitas Andalas bagi pertemuan bersama pelajar Malaysia disana. Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama pelajar Malaysia.

Selepas itu kami bergerak meninggalkan Kota Padang untuk ke Bukit Tinggi. Perjalanan yang diambil untuk sampai ke Bukit Tinggi adalah sekitar dua jam. Sepanjang perjalanan kami dihiburkan dengan lawak jenaka antara kami. Sungguh menghiburkan. Kami melalui pelbagai daerah sebelum sampai antaranya Padang Panjang. Saya sempat melihat air terjun daripada bukit berhampiran pintu gerbang di Padang Panjang. Kawasan curam dan bukit telah kami lewati, akhirnya sampailah kami di Bukit Tinggi.

Sesampainya kami disana, kami disambut oleh Ibu Lina dan terus check in di Hotel Graham Muslim. Suasana di Bukit Tinggi sangat dingin dan selepas itu kami keluar berjalan kaki untuk menikmati makan malam di kawasan berhampiran. Kami juga sempat bersiar-siar di kawasan Jam Gadang, tempat kebanggaan penduduk di Bukit Tinggi. Jam Gadang ini telah ditubuhkan sebelum zaman pemerintahan Jepun lagi.

Selepas itu, kami pulang ke tempat penginapan untuk merehatkan diri dan bersedia untuk aktiviti keesokan hari.


31/12/2009

Pada pagi ini, kami memulakan aktiviti kami dengan riadah bersama-sama berhampiran dengan tempat penginapan kami iaitu Hotel Graham Muslim. Kami mempraktikkan senamrobik yang telah kami cipta semasa di Malaysia lagi. Selepas itu, pada jam 7.00 pagi kami bersiap-siap untuk ke Taman Panorama Lubang Jepang sesuai dengan rencana yang telah kami rancang. Pengalaman baru bagi kami ialah menaiki sebuah kenderaan yang bernama angkut. “It was so cool”,kata Rafiqah. Kami menaiki sebuah angkut bersama Ibu Lina ke sana.

Sesampainya kami di Taman Panorama Lubang Jepang, kami disambut dengan suasana nyaman dan senamrobik oleh sekumpulan ibu-ibu di kawasan itu. Sungguh menyenangkan. Saya sendiri tertarik untuk menyertai kaum ibu itu tapi tugas itu lebih penting. Saya dan rakan-rakan lain terus tertarik untuk menikmati panorama Gunung Meranti dan Gunung Singgalang. Saya jatuh cinta dengan tempat ini untuk sekelian kalinya. Ah, indahnya ciptaan Tuhan.

Seterusnya kami masuk ke tempat bersejarah, Lubang Jepang. Suasana di dalam “kawasan” itu sungguh mengerikan. Gelap, luas dan berdebu. Jika berjalan tanpa hala tuju di dalam lubang ini akan membolehkan kita tersesat. Jadi, semua orang berhati-hati dan mendengar penjelasan daripada Ibu Lina dengan tekun. Apa yang saya kagumkan dengan strategi tentera Jepun pada zaman dahulu ialah membina kawasan yang luas dan dilengkapi dengan bilik-bilik strategi, tahanan, ruang makan dan pelbagai lagi adalah semata-mata untuk memudahkan urusan mereka menawan Indonesia.

Menurut Ibu Lina, walaupun kawasan ini telah ditimpa gempa namun Lubang Jepang ini tetap kukuh dan tidak runtuh. Saya sempat menjalankan tugas membuat liputan untuk tujuan dokumentari. Selepas kami keluar dari Lubang Jepang itu, kami mengelilingi Taman Panorama itu sambil “mencuci mata”. Kami menuju ke tempat Jam Gadang dengan berjalan kaki. Keadaan di sana agak sibuk kerana ramai pelancong yang datang untuk menyambut Tahun Baru 2010 di sini.

Kami menaiki angkut ke Pasar Ayau sambil ditemani oleh Ibu Lina untuk membeli barang keperluan sepanjang berada di Padang dan sedikit cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia. Pertamanya, kami ke Kedai Buku untuk membeli karya Hamka kerana kami difahamkan buku-buku yang dijual di sini lebih murah berbanding di Malaysia. Selepas menghabiskan masa hampir sejam di Kedai Buku tersebut, kami ke Pasar Ayau dan membeli sedikit buah tangan untuk kenalan di Malaysia.

Selepas penat membeli, kami menaiki angkut untuk ke pejabat Ibu Lina, wakil Global Peace Mission (GPM) di Indonesia. Di sana jugalah kami singgah di sebuah kedai makan untuk makan tengahari dan mengisi perut kami yang berkeroncong. Makanan di sana sangat “simple” tetapi sangat enak. Menu kami pada hari itu ialah nasi putih, ayam goring beserta sayur kacang, lobak dan pucuk paku yang telah direbus terlebih dahulu ditambah pula cili kisar. Fuh, memang sedap. Seusai makan, kami melawat pejabat Ibu Lina di tingkat atas kedai makan tersebut. Urusan di pejabat itu adalah untuk memberi modal kepada sesiapa yang memerlukan dan menjadi usahawan secara kecil-kecilan atau besar-besaran.

Kami juga sempat mengambil gambar kenang-kenangan di hadapan pejabat tersebut. Bendi. Satu nama kenderaan yang agak unik. Tapi itulah hakikatnya. Kami menaiki bendi atau kereta kuda untuk pulang ke Hotel Graham Muslim. Pengalaman menaiki bendi mengelilingi Kota Bukit Tinggi tidak akan saya lupakan. Apabila sampai di depan hotel, kami bergambar kenangan buat kali terakhir di situ.

Kami terus ke bilik dan berkemas untuk melanjutkan misi kami yang seterusnya ke Maninjau. Misi kami menjadi mencabar apabila kami terpaksa menaiki bas ke Maninjau. Perancangan awalnya kami akan dijemput oleh Pak In di Bukit Tinggi tetapi oleh kerana terdapat sedikit masalah terpaksalah kami menyahut cabaran demi meneruskan misi rahmatan lil alamin. Dengan bantuan Ibu Lina, kami menyewa dua angkut untuk menghantar kami ke perhentian bas yang terletak berhampiran Pasar Ayau.

Sesampainya di perhentian bas itu, alangkah terkejutnya kami kerana situasi itu berbeza dengan di Malaysia. Barang-barang kami dipunggah ke atas bumbung bas dan keadaan bas itu sendirinya tidak menyelesakan kami. Apabila saya dan rakan-rakan lain meniki bas itu, satu persatu penyanyi jalanan masuk dan menghiburkan kami. Mulanya secara peribadi, saya anggap itu adalah sekadar satu prosedur untuk mereka manghiburkan sesiapa sahaja yang menggunakan pengangkutan awam itu. Tetapi apabila melihat penduduk di situ tidak mengendahkan mereka, saya jadi ingin tahu dan bertanya kepada seorang pak cik di hadapan saya.

“Pak cik, kenapa saya tengok tak ada seorang pun penduduk di sini yang hiraukan mereka?” begitulah lebih kurang ayat pertanyaan saya kepada pak cik tersebut. Maka jawablah pak cik itu kepada saya, “nak, mereka cuma hendakkan duit sahaja. Kami di sini dah biasa dengan keadaan ini.” Oleh itu mengertilah saya. Kami merasa sedikit cuak dengan keadaan di dalam bas pada ketika itu kerana satu persatu yang datang meminta duit. Kami hanya cekalkan hati dan menghadapi keadaan di luar jangkaan itu dengan tenang hati.

Akhirnya, bas bertolak meninggalkan Bukit Tinggi menuju ke Maninjau, yempat kelahiran ulama terkenal Hamka. Dalam perjalanan saya hanya menghayati keindahan alam yang tidak terusik dek kezaliman manusia meneroka bumi. Dari situ saya kagum dengan cara penduduk sekitar menjaga kawasan persekitaran mereka. Kami melalui Kelok 44 yang berbahaya memnadangkan jalannya yang curam dan sempit serta hujan yang turun tidak henti-henti menerbitkan rasa gerun di hati. Kelok 44 ini menjadi laluan utama kenderaan yang ingin ke Maninjau.

Dari kelok 44 hingga ke kelok 1 direntasi. Perjalanan diteruskan dan akhirnya sampailah kami di hadapan tempat pengungsian Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Kampung Kukuban, Maninjau. Kami disambut dengan mesra oleh pimpinan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka iaitu Drs Zainul Arifin atau lebih mesra dipanggil Pak In. Kami di bawa ke tempat penginapan dan Pak In telah diberi penerangan khusus tentang kedatangan kami ke Kg Kukuban ini.

Selepas solat asar, kami dibawa ke mushalla untuk berkenalan dengan santri-santri dan tenaga pengajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka. Kami berasa amat bertuah kerana kehadiran kami diterima dengan baik oleh mereka termasuklah penduduk Kampung Kukuban itu sendiri. Kami disapa dengan ramah dan jelaslah disini bahwa mereka sangat mengalu-alukan tetamu serta masih mengekalkan adat-adat masyarakat Minangkabau.

Sebelum solat maghrib, kami dijemput ke rumah Ibu Uzma untuk makan malam. Ada terdapat beberapa hidangan yang menarik selera kami untuk terus mencuba. Salah satunya adalah rinuak. Kami diberitahu bahawa salah satu keistimewaan rinuak adalah ia hanya boleh didapati di Maninjau sahaja. Sajian pada hari itu membuka selera kami sehinggakan ada yang bertambah makannya.

Selepas itu, kami menunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah di mushalla. Sementara itu kami mengambil peluang untuk mendekati anak-anak santri memandangkan mereka masih ragu untuk bertegur dengan kami. Selepas solat, kami mengadakan mesyuarat untuk menegaskan tujuan asal kami datang ke Padang. Kami juga mengadakan sesi post mortem untuk mendengar luahan hati setiap aktivis sebelum tidur dan membina perancangan untuk keesokan hari.

Setreusnya apabila sesi post mortem selesai, kami para aktivis bersurai dan merehatkan diri sebelum fajar menampakkan diri dan kami meneruskan misi rahmatan lil alamin kami.

01/01/2010

Pagi ini adalah pagi yang pertama kami di Maninjau. Aktiviti pada pagi ini dimulakan dengan solat subuh berjemaah di mushalla dan seterusnya kami para aktivis beriadah pada jam 7.00 pagi di hadapan markas Hamka. Kami hanya mempraktikkan apa yang telah kami susun sewaktu di Malaysia dahulu. Selepas riadah, kami bersiap-siap untuk sarapan pagi di rumah Ibu Zum. Yang uniknya di sisni setiap kali waktu makan, mereka akan menjamu nasi sebagai satu hidangan utama.

Selepas itu, kami dibawa oleh Ustaz Nasrullah ke rumah Pak Jorong iaitu Ketua Kampung Kukuban. Kami hanya perlu melintasi beberapa rumah dari rumah ibu Zum sebelum sampai ke rumah Pak Jorong. Kami tiba di rumah Pak Jorong pada jam 8.50 pagi waktu Indonesia dan kami mulakan majlis itu dengan pengenalan mengenai aktiviti kami oleh Encik Izwan Suhadak.

Antara isi laporannya ialah tentang program TURDA iaitu Program Turun Ke Desa yang kami bakal laksanakan. Hal ini bertujuan untuk bersama-sama penduduk kampung dan merasai sendiri pengalaman mereka. Kalau mereka ke sawah, maka ke sawahlah kami. Kalau mereka ke danau, maka ke danaulah kami. Encik Izwan meminta jasa baik Pak Jorong untuk mencarikan kami keluarga angkat untuk dijadikan homestay atau percubaan bagi kami dan sebolehnya untuk ekspidisi yang akan datang.

Seterusnya Pak Jorong mengelaskan jumlah keluarga yang ada di kampung itu. Sebanyak 107 keluarga dan 387 jumlah isi rumah di Kampung Kukuban. Mereka masih lagi mengamalkan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan kampung. Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan dalam regu. Sesiapa sahaja boleh melibatkan diri dalam aktiviti ini kerana ia diadakan pada setiap hujung minggu iaitu hari Ahad. Menurut Pak Jorong juga setiap hari Sabtu, masyarakat di sini terutamanya anak-anak muda akan mengadakan latihan kesenian tradisional. Banyak cerita yang kami dapat daripada Pak Jorong tentang situasi kampung ini. Namun, perbincangan terpaksa dihentikan kerana kami mempunyai agenda lain untuk dipenuhi.

Rumah Pak Jorong kami tinggalkan dengan janjinya untuk mencari keluarga angkat buat kami aktivis dari Malaysia. Seterusnya, kami menaiki van untuk ke Meseum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Rombongan kami diiringi oleh ustaz dari pondok pesantren dan juga Ibu Nisma yang dahulunya pernah belajar di sekolah ayahnya Hamka. Semasa kedatangan kami, museum itu dijaga oleh salah seorang cucu Hamka. Setiap kunjungan disambut dengan baik dan kami melihat-lihat keadaan di dalam rumah tersebut. Banyak karya Hamka yang disimpan dan dijadikan koleksi dalam Museum Rumah Kelahiran Hamka. Kami juga sempat menemubual Ibu Nisma tentang karaktor Hamka itu sendiri daripada pengamatannya. Ibu Nisma menyatakan bahawa Hamka ini adalah seorang yang mempunyai pendirian teguh dan merupakan seorang yang lemah lembut. Selepas menghabiskan masa di museum itu dalam saru tempoh masa yang panjang, kami mengambil gambar kenang-kenangan di hadapan museum dan kami bergerak ke tempat asal Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Batu Nanggai, Maninjau.

Semasa dalam perjalanan, kami diuji lagi dengan persekitaran di sana. Jalannya yang tidak rata akibat gempa menyukarkan kami dan kami berfikir sejenak tentang kehidupan yang terpaksa penduduk lalui setiap hari. Sewaktu dalam perjalanan, kami terpaksa berpatah balik kerana keadaan jalan yang tidak mengizinkan kami melalui satu-satunya jalan perhubungan ke Batu Nanggai. Jadi, ustaz yang membawa kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan menggunakan jalan alternative yang lain. Namun, itu semua tidak mendatangkan hasil kerana jalan itu juga tidak membolehkan kami untuk melalauinya.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk terus ke masjid untuk solat Jumaat dan kebetulan hari ini adalah giliran sahabat kami, Ammar untuk membaca khutbah Jumaat sebelum dia berangkat pulang terlebih dahulu ke Malaysia atas urusan kuliah. Kami tiba di Masjid Batu Nanggai dan aktivis lelaki terus ke masjid dan kami yang perempuan menunggu mereka habis solat. Semasa menunggu kami sempat berjalan-jalan bersama Ibu Nisma melihat-lihat sekeliling kampung. Kami menunggu di sebuah warung makan dan tiba-tiba kami terdengar suara sahabat kami membaca khutbah, “Ittaqullah...”. Kami berpandangan sesame sendiri kerana terpegun dengan kebolehan Ammar. Benarlah bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Selepas mereka selesai solat Jumaat, kami bergerak lagi untuk makan tengahari. Kami dibawa ke sebuah tempat rekreasi yang cantik iaitu . Suasana di situ sangat menyenangkan pemandangan saya kerana keindahan alam yang digunakan dengan baik walaupun ia adalah tempat rekreasi dan tempat kunjungan orang ramai. Kami makan di tepi kolam ikan yang jaraknya hanyalah beberapa meter dari kami. Selesai makan, kami bergerak pulang ke Kg Kukuban untuk agenda seterusnya.

Di Kampung Kukuban, kami menyiapkan laporan seperti travel log dan puisi-puisi yang belum sempat kami siapkan. Pada petang itu juga kami diberitahu oleh Pak Jorong tentang bakal keluarga angkat kami. Kami sungguh teruja untuk memulakan hidup kami di rumah keluarga angkat. Selepas maghrib, kami dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Rafiqa dan Sarah (kumpulan 1) manakala Udin, Izzat dan Ilyas (kumpulan 2), Junaidah, Hdariyani dan Hafizah (kumpulan 3) dan saya, Aqliah bersama Khadijah (kumpulan 4). Kami akan dihantar ke rumah keluarga angkat selepas solat isyak.

Pertamanya kami menghantar kumpulan 1 terlebih dahulu kerana kedudukan rumahnya yang agak jauh. Dalam perjalanan kami terserempak dengan sekumpulan anak muda yang sedang mengadakan latihan kesenian tradisional. Selepas kumpulan 1, kumpulan 2, dan kumpulan 3 kami hantar, akhirnya tibalah jua giliran kumpulan saya, kumpulan 4. Rumah keluarga angkat saya ialah rumah Ibu Uzma Yasir ataupun lebih mesra disapa Ibu Zum oleh masyarakat kampung.

Kami disambut dengan tangan terbuka oleh isi rumah tersebut. Pada mulanya agak kekok bagi saya untuk berada di kalangan yang tidak dikenali. Namun, disebabkan keramahan dan keriuhan mereka termasuk dua orang kanak-kanak telah menyenangkan saya. Malam itu adalah malam pertama saya di rumah keluarga angkat saya. Saya tidur dengan selesa dan menunggu terbitnya fajar keesokan hari.

02/01/2010

Hari ini adalah hari yang kelima kami berada di Padang, Indonesia dan merupakan hari yang kedua di daerah Kukuban, Maninjau. Saya berada di rumah keluarga angkat dan merasa teramat bertuah kerana diberi keluarga yang baik. Mereka menganggap kami seperti anak sendiri dan apa yang saya perhatikan ialah masyarakat di sini sangat mengalukan tetamu. Daripada awal pemerhatian saya ialah tuan rumah tidak akan makan sehinggalah tetamunya selesai makan. Mungkin begitulah adat mereka. Bercerita soal adat saya akan mengkaji satu adat yang berkaitan adat dan sosiobudaya masyarakat minang dalam perkahwinan.

Selepas bersarapan, kami meminta izin dari ibu untuk menyertai aktiviti bersama rakan lain. Saya sempat merasa pengalaman menjamuah beras iaitu menjemur padi bersama kaum ibu di sana. Kegiatan ekonomi masyarakat di sini ialah kebanyakannya bertani iaitu ke sawah dan menternak ikan untuk dijual kepada peraih. Biasanya mereka hanya bekerja untuk makan seharian dan selebihnya akan dijual. Begitulah cara mereka menampung kehidupan sehari-hari. Apa yang menjadi persoalan saya ialah walaupun mereka hanya mendapat hasil yang sedikit tetapi masih boleh menampung kehidupan dan hidup dalam kesenagan dan kebahagiaan, sedangkan kita yang mendapat hasil yang banyak tetapi hidup dalam keadaan yang “tidak sempurna”. Mengapa boleh terjadi begini? Itu adalah persoalan yang sering bermain dalam kotak pemikiran saya. Sama-samalah kita fikirkannya.

Seterusnya, saya mengikut Rafiqa dan Sarah bersama Ibu angkatnya ke kolam ikan milik ibu angkat mereka. Kami berjalan kaki sejauh 500 meter. Rintik-rintik peluh sudah keluar di bahang mentari tetapi perjalanan kami berbaloi kerana kami melewati kawasan danau dan melihat pemandangan yang cantik di sekeliling kami. Masya Allah. Menurut Ibu Rima, anak-anak ikan yang mereka ternak akan diasingkan untuk tujuan pembiakan. Apabila sudah matang, ia akan dijual kepada peniaga atau pemborong. Saya sempat mengelilingi kolam ikan tersebut dan mengambil foto-foto indah sebagai kenangan.

Di sana kami berpecah dan saya bersama penasihat dan Khadijah bergerak pulang ke Kukuban manakala Rafiqa dan Sarah mempunyai agenda mereka tersendiri. Kami berjalan pulang ke Kukuban dan melewati danau yang cantik dan sapaan penduduk kampung yang ramah. Sesampainya saya di rumah, saya menolong ibu angkat memasak hidangan minang. Kami bertukar resepi melayu dan minang. Mereka banyak menggunakan cili dalam masakan yang mereka panggil “cabe”. Berair jugalah mata saya merasa air tangan ibu kerana tahap kepedasannya. Tetapi walau bagaimanapun, masakan ibu memang sedap.

Selepas zohor, kami para aktivis mengadakan mesyuarat untuk Program Turun Ke Desa. Kami dikehendaki untuk membuat “survey” keadaan rumah di Kampung Kukuban. Informasi setiap rumah mestilah meliputi isi rumah, pendapatan tahunan/bulanan, pekerjaan, dan banyak lagi. Jika selesai kami dikehendaki membuat pemetaan komuniti dimana kami akan melukis kawasan rumah yang telah kami singgah. Kami bergerak mengikut arah yang telah ditetapkan oleh ketua kami. Kami juga membuat kajian tentang harga tambang kenderaan awam di sini. Banyak pengajara yang saya dapat melalui pemetaan komuniti ini. Antaranya ialah melatih cara saya berkomunikasi dengan orang awam, membina jaringan tersendiri, memupuk keyakinan diri, dan banyak lagi.

Setelah selesai pemetaan, kami menghabiskan masa yang ada di rumah bersama keluarga angkat. Saya sempat juga mengorek beberapa cerita rakyat dari ibu saya. Antara kisah yang diperdengarkan ialah kisah si Malim Kundang dan kisah Bujang 9. Ibu seorang penglipur lara yang bagus. Banyak perkara yang saya tanyakan kepada ibu sekadar untuk pengetahuan dan ibu kelihatan begitu senang menjawab segala pertanyaan saya dengan lancar dan sabar. Kami berbual-bual sehingga waktu Maghrib menjengah.

Kami solat Maghrib berjemaah di mushalla bersama anak-anak pesantren. Mereka sudah kelihatan begitu mesra dengan kami. Kebanyakannya sudah boleh bergurau senda dan bergelak ketawa bersama. Selepas solat isyak, kami makan malam bersama keluarga angkat dan terus mengadakan sesi post mortem untuk mengetahui kegiatan yang dilakukan oleh aktivis sepanjang hari. Kami juga mengumpulkan hasil dari pemetaan komuniti yang telah kami jalankan pada petang itu.

Pada pukul 10.00 malam, kami bersurai dan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk merehatkan diri setelah seharian bekerja.


03/01/2010

Aktiviti pada hari ini saya mulakan dengan solat subuh berjemaah di mushalla. Seterusnya pulang ke rumah dan menolong ibu di dapur untuk dijamu kepada orang ramai yang bergotong-royong membersihkan kawasan bukit untuk dijadikan pondok pesantren yang baru. Selepas bersarapan, kami para aktivis memulakan kerja kami dengan mengikut penduduk kampung bergotong-royong. Kami berjalan kaki dan mendaki bukit yang sejauh 2 kilometer. Projek untuk membangunkan Pondok Pesantren ini telah dimulakan pada tahun 2007 lagi. Tetapi memandangkan terdapat beberapa masalah, pembangunan ini terpaksa dihentikan.

Kami menyusul sekumpulan kaum bapa untuk sampai di tempat gotong-royong. Pendakian kami setakat ini berjalan lancer kerana semak samun telah dicantas melainkan jalannya yang agak licin selepas hujan semalaman dan pacat yang banyak. Seorang pak cik telah membawa kami untuk mendaki ke puncak bukit yang akan dijadikan tempat pondok pesantren itu. Selangkah, dua langkah dan akhirnya sampailah kami di simpang bukit untuk melalui jalan pintas ke tapak pondok. Kami mengambil keputusan untuk tidak terus mendaki akibat keadaan bukit yang agak curam dan keadaan bukit yang basah mungkin membahayakan kami.

Setelah itu, kami bersama penduduk kampung yang lain mencantas semak dan akhirnya kami turun semula ke bawah dan menikmati sedikit jamuan bersama penduduk kampung. Apa yang saya puji tentang masyarakat di sini ialah mereka masih mengamalkan semangat kekitaan di antara mereka yang mana keadaan ini jarang di dapati di Malaysia. Selepas makan, kami beransur pulang ke rumah untuk berehat dan membersihkan diri. Selepas solat zohor, kami mengadakan perjumpaan ringkas dan setelah itu, saya berjalan-jalan di sekitar kampung termasuklah ke rumah keluarga angkat aktivis yang lain.

Sepanjang maghrib dan isyak, kami hanya menghabiskan masa di mushalla bersama pelajar pesantren. Kami juga mengadakan sesi kultum (kuliah tujuh minit) bagi memanfaatkan masa yang ada di samping memberi pengisian rohani kepada kami dan anak-anak pesantren. Setelah itu, kami diberi peluang untuk mengadakan sesi taaruf ringkas kepada anak-anak pesantren yang baru hadir untuk memulakan sesi persekolahan mereka.

Pada jam 9.00 malam waktu Sumatera Barat, kami para aktivis mengadakan sesi post mortem untuk aktiviti keesokan haridan perbentangan modul kem kepimpinan pelajar oleh Izzat. Kami memutuskan untuk mengadakan perjumpaan bersama guru pesantren, masuk ke kelas bersama pelajar dan meneruskan kajian lapangan masing-masing. Setelah selesai, mesyuarat diakhiri dengan surah Al-Asr dan tasbih kifarah. Para aktivis bersurai dan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing.


04/01/2010

Hari ini hari Isnin, 4 Januari 2010. Kami para aktivis telah sepakat untuk berpuasa sunat bagi mengharungi keperitan dan cabaran berada di Maninjau. Hari ini saya dan Junaidah telah dijemput oleh Uni Ati, jiran sebelah rumah untuk menghadiri pertemuan bersama guru-guru TK (tadika) sekitar Maninjau di TK Muhammadiyah Amaliyah, Maninjau. Saya tidak melepaskan peluang ini untuk menambah ilmu saya dalam bidang prasekolah. Kami bertolak seawal jam 9.00 pagi kerana tersilap informasi. Jadi, masa yang ada saya melihat cara guru-guru di Maninjau mengajar kanak-kanak tersebut. Cara pembelajaran mereka sangat menarik di mana mereka banyak menggunakan pergerakan seperti menari dan bermain. Mereka juga menggunakan pendekatan dalam nyanyian untuk mengajar anak-anak di sini.

Tunggu punya tunggu, akhirnya jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Guru-guru sekitar Maninjau telah berkumpul kesemuanya dan kami dijemput untuk masuk ke dalam bilik mesyarat untuk bersama mereka. Mereka membincangkan acara pertandingan untuk pelajar mereka. Perkara ini termasuk dalam calendar tahunan mereka iaitu pertandingan antara TK sekitar Maninjau. Dalam perbincangan itu, kami dapat memetik beberapa isu antaranya ialah kekurangan murid di TK. Hal ini kerana tidak ramai kanak-kanak yang ingin belajar di TK. Mereka hanya akan mula mengambil kanak-kanak yang berumur di antara 5-7 tahun sahaja untuk mengelakkan kanak-kanak terlalu lama di TK dan menjadi “borink”. Kami wakil dari Malaysia juga diberi peluang untuk memperkenalkan diri dan merperjelaskan aktiviti kami di Maninjau. Kami juga mengedarkan risalah-risalah pengetahuan umum tentang Hamka.

Sekitar jam 12.30 tengahari, kami bertolak pulang ke Kampung Kukuban dengan menaiki sebuah motosikal. Dapat juga saya berpeluang membonceng motosikal di negara orang. Kami sampai pada jam 1.00 petang. Sesampainya kami di sana, kami terus ke Pondok Pesantren Prof Dr Hamka untuk melihat aktivis yang lain mengajar pelajar-pelajar pesantren. Pengajaran mereka nampaknya membuahkan hasil apabila para pelajar nampak bersemangat dan banyak bertanya soalan. Kehadiran kami adalah untuk mengisi slot pembelajaran mereka kerana tidak ramai guru yang masuk ke kelas pada awal persekolahan kerana terikat dengan beberapa komitmen lain.

Seterusnya saya tinggalkan mereka untuk menyambung kerja-kerja aktiviti saya yang belum selesai. Selepas itu, kami solat zohor berjemaah di mushalla kemudiannya saya dikehendaki membuat peta Maninjau bahagian Kecamatan Tg Raya. Penghasilannya agak rumit kerana perlu menambah perincian tentang kampung yang terdapat di sana. Namun, dengan pemetaan komuniti dan dari pemerhatian seharian banyak membantu. Lepas solat asar, saya menyambung kembali kerja sebagai aktivis walaupun tahap keletihan memuncak dengan keadaan diri berpuasa. Situasi pada ketika ini banyak melatih diri saya banyak bersabar dan melakukan kerja dengan ikhlas kerana Allah.

Masa berlalu dan tanpa saya sedari, waktu maghrib telah tiba dan saya pulang ke rumah keluarga angkat untuk memenuhi undangan berbuka puasa bersama. Selepas solat maghrib dan isyak ada acara berbuka puasa bersama anak-anak santri di mushalla. Kami makan bersama di dalam satu talam untuk mengeratkan lagi ukhwah yang terjalin antara kami. Kami melalui proses ini dengan perlahan-lahan dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Selepas acara berbuka itu, kami dihiburkan dengan persembahan dari santri serta majlis penyampaian hadiah.

Acara ini akan mereka lakukan pada setiap tahun untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang telah berjaya dalam pengajian mereka. Selain itu, ia adalah untuk memberi peluang kepada yang tidak berjaya untuk terus belajar dan mewujudkan persaingan yang sihat di dalam pelajaran antara mereka. Kami diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang santri. Bacaannya sangat merdu didengar. Seterusnya persembahan nasyid di kalangan mereka.

Tanpa kami sedar, nama kami disebut oleh pengerusi majlis untuk membuat persembahan pada malam itu. Terkejut dan tergamam. Itulah perasaan kami pada saat itu sehingga dirasakan tidak mampu untuk berdiri. Akhirnya kami menyahut cabaran dengan bersemangat dan menyanyikan satu lagu nasyid di hadapan santri dan pimpinan. Di saat kami mendendangkan lagu tersebut, kami mendapat sambutan daripada mereka dan kami memdendangkan bersama-sama.Walaupun dirasakan agak kelam kabut, namun saya cukup bangga kerana kami sanggup menyahut cabaran itu. Di sini, satu pelajaran yang saya peroleh iaitu bersedia untuk tidak bersedia. Kerana keadaan yang tidak disangka mungkin akan menjelma dan mungkin lebih teruk lagi. Siapa tahu? Majlis berakhir pada jam 9.45 malam.

Kami para aktivis berkumpul untuk sesi post mortem. Sesi ini wajib dilakukan bagi mengelakkan masalah antara aktivis muncul. Selesai sahaja sesi ini kami bersurai dan merehatkan diri setelah penat seharian.

04/01/2010

Pada hari ini saya mengikuti Uni Ati untuk mengajar di TK Ainsiyah di Sungai Batang. Saya suka berada di TK ini kerana kanak-kanak yang tidak bayak karenah kecuali beberapa orang yang sangat aktif. Mereka memanggil saya dengan panggilan ‘Ibu’ yang bermaksud guru di sekolah. Pada mulanya saya menyuruh mereka memanggil saya kakak sahaja tetapi mungkin mereka lebih senang begitu, maka saya membiarkan sahaja. Lagipun terasa seronok pula digelar begitu. Di TK saya menolong guru-guru mengajar murid untuk pertandingan antara TK yang akan datang.

Semasa sesi pembelajaran ini banyak lagu yang kedengaran. Guru-guru di sini mengajar anak-anak didik mereka dengan lagu dan pergerakan. Selepas itu saya menolong mereka melukis gambar yang ditunjukkan oleh guru mereka dan mengajar mereka mengaji. Sebenarnya tidak banyak yang perlu diajar kerana mereka agak cepat menangkap apa yang diberitahu oleh guru mereka. Pada awalnya mereka agak malu untuk bercakap dengan saya tetapi lama kelamaan mereka seperti sudah biasa dan kemana sahaja pasti saya akan kedengaran “bu guru,”. Itu adalah tanda mereka akan bercerita atau bertanya kepada saya. Persekolahan TK di sini tamat pada jam 11.00 pagi. Anak-anak pulang ke rumah masing-masing sama ada dijemput orang tua atau pulang sendiri dan kami guru-guru pun beransur pulang selepas mengemaskan kelas yang berselerak itu.

Apabila sampai di rumah, kami berpecah untuk ke kelas dan mengajar santri. Saya sendiri telah membuat satu temujanji bersama guru di sekolah dasar (SD) Muhammadiyah untuk masuk belajar Adat Minang (BAM) bersama pelajar di situ. Saya akan memulakan pengajian bahasa saya pada keesokan harinya jam 11.25 pagi setelah selesai waktu persekolahan. Azan zohor sudah berkumandang dan kami menunaikan solat zohor berjemaah di mushalla. Selepas itu kami makan tengahari dan separuh daripada kami bergerak ke Sungai Batang dan separuhnya lagi tinggal di Kampung Kukuban untuk menyelesaikan beberapa perkara di sini.

Kami seramai 6 orang bergerak ke Sungai Batang untuk berjumpa dengan Pak Irfan. Pak Irfan telah membawa kami melawat tapak pengungsian sementara mangsa gempa bumi baru-baru ini. Di sini mereka hanya tinggal di dalam khemah dan menjadikan tanah lapang itu sebagai satu penempatan baru. Mereka tinggal di sini beramai-ramai dan t

terdapat kemudahan mushalla untuk kegunaan orang ramai serta bilik tayangan untuk mereka. Pak Irfan juga memberitahu mereka sedang menunggu bantuan dari pelbagai pihak yang berkenaan.

Pak irfan memberitahu mereka ada menerima bantuan dari Oman. Selain itu, mereka juga tidak membenarkan pertolongan dari pihak luar menyesatkan mereka, yakni menyesatkan sesetengah dari mereka. Selain itu, sebanyak 170 shelter akan dibina untuk mangsa-mangsa gempa di sini. 1 unit untuk 1 keluarga. Kami berjalan lagi untuk melihat-lihat kawasan yang telah terkena gempa. Menurut sumber pada setiap gunung yang runtuh tertera kalimah Allah. Kami ingin sekali melihat dengan mata sendiri keajaiban Allah itu. Tetapi niat itu kami tangguh dahulu kerana ada misi yang perlu kami selesaikan.

Seterusnya, kamia meneruskan ekspedisi kami menjejak salasilah keturunan Hamka. Pertamanya, kami berjalan ke Makam Syeikh Gugu Gatur iaitu moyang Hamka. Tempat ini terletak jauh di atas bukit dan belum pernah diterokai sebelum ini. Tempat ini masih terpelihara. Yang jelas, Hamka merupakan keturunan dari ahli ulama pada zaman dahulu. Di nisan Syeikh Gugu Gatur juga terdapat tulisan kaligrafi yang bertulis Abdullah Soleh yang bermaksud hamba Allah yang baik. Nisan ini juga merupakan nisan yang pertama bertulis kaligrafi. Syeikh Gugu Gatur telah wafat pada tahun 1245 dan makam ini telah wujud sejak 146 tahun lamanya. Di sini saya senaraikan susur galur keturunan keluarga Hamka:

1. Abdullah Arif (salah seorang Pahlawan Perang Pederi)

2. Syeikh Gugu Gatur (moyang)

3. Saerah

4. Syeikh Muhammad Amrullah (datuk)

5. Dr Hj Abdul Karim Amrullah (bapa)

6. Hj Abdul Malek Karim Amrullah (Hamka)

Selepas itu, kami berjalan turun untuk ke Masjid Syeikh Amrullah di jorong Nagari. Ketika ini kami merasa sendiri caranya ekspedisi meneladani Pemikiran Hamka. Bukannya sesenang yang disangka. Apabila sampai di Masjid Syeikh Amrullah, kami diterangkan tentang kisah penubuhannya pada zaman dahulu.

Masjid ini dinamakan sempena nama datuk Hamka dan telah ditubuhkan kembali pada 27/09/2007 menggunakan sisa-sisa peninggalan yang lama. Masjid telah berusia 117 tahun lamanya dan dahulunya masjid ini dikelilingi kolam ikan tetapi apabila masyarakat telah menyalahgunakan kolam ikan ini untuk membersihkan anjing, pihak pengerusi masjid telah membuat keputusan untuk menutup kolam ikan tersebut dem menjaga kesucian masjid.

Seterusnya kami ke Makam Syeikh Muhammad Amrullah berhampiran dengan masjid Amrullah. Syeikh Muhammad Amrullah telah dimakamkan berhampiran dengan bekas tapak pondoknya dahulu yang bernama “Surau Berlenggek” yang bermaksud Surau Tiga Tingkat. Dahulunya surau ini digunakan Syeikh Amrullah untuk mengajar murid-muridnya mengaji dan sekarang bekas tapak surau itu dipenuhi semak samun.

Kami melewati sawah dan denai yang cantik untuk meneruskan perjalanan ke makam Dr Hj Abdul Karim Amrullah, bapanya Hamka dan Syeikh Yusuf Amrullah, bapa saudara Hamka. Mereka dimakamkan bersebelahan antara satu sama lain. Daripada sumber yang saya dapat, Hj Abdul Karim merupakan orang Indonesia yang pertama mendapat gelaran Dr.HA dalam bidang Usuludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Setelah itu, kami masuk ke perpustakaan awam yang terletak di belakang Makam Ayahanda Hamka. Perpustakaan ini dibuka kepada orang awam yang berminat dalam mengkaji karakter Hamka. Dahulunya perpustakaan ini merupakan tapak rumah ayahanda Hamka. Sekarang ia dijadikan perpustakaan dan terdapat karya-karya Hj Abdul Karim dan Hamka itu sendiri. Perpustakaan ini dijaga oleh Ibu Salma Abdullah iaitu penjaga amanah keluarga Hamka. Menurut Ibu Salma, beliau diberi amanat oleh pihak ABIM sebagai penjaga perpustakaan itu memandanakan beliau merupakan salah seorang saudara Hamka.

Seterusnya, kami ke rumah peninggalan Hamka. Rumah ini dijaga oleh Pak Hanif Rasyid sejak 8 tahun yang lepas dan rumah ini telah didirikan pada tahun 40 an lagi. Masih kukuh berdiri dan terletak di hadapan danau. Kami sempat bergambar di kawasan rumah ini berlatarbelakangkan kawasan danau. Pemandangannya sangat cantik. Selepas itu, kami bersama Pak Hanif Rasyid dan beliau telah mengutarakan beberapa pesanan Hamka kepada kami. Pak Hanif merupakan anak saudara kepada Hamka. Antara pesanan Hamka ialah:

1. Orang yang pintar adalah orang yang merasa bodoh sehingga tidak berhenti belajar.

2. Orang yang berbahagia adalah orang yang merintis ke kampung halamannya.

3. Ketika pintu rumah diketuk kemiskinan, aku buka jendela dan melompat keluar.

Menurut Pak Hanif, kemiskinan ini bererti :

1. Kemiskinan ilmu.

2. Kemiskinan iman.

3. Kemiskinan akhlak.

4. Kemiskinan harta.

Saya begitu kagum dengan cara Pak Hanif berpidato dan menampakkan beliau seorang yang berpengalaman. Pertemuan bersama Pak Hanif tidak begitu terasa kerana kami semua khusyuk mendengar amanat yang beliau sampaikan. Sebelum pulang, kami mengambil gambar bersama Pak Hanif di rumah peninggalan Hamka sebagai kenang-kenangan. Selepas itu, kami berangkat pulang ke Kampung Kukuban untuk agenda kami yang seterusnya.

05/01/2010

Pada pagi ini, saya bersama 3 orang aktivis yang lain iaitu Junaidah, Hafizah, dan Rafiqah telah memenuhi undangan untuk mengajar kanak-kanak di Posko Sungai Batang, penempatan sementara mangsa gempa bumi baru-baru ini. Kami berjalan menuju ke sana seawal jam 8.00 pagi kerana waktu persekolahan kanak-kanak TK akan bermula pada jam 8.00 pagi. Kami tiba di Posko 15 minit kemudian dan disambut oleh Pak Irfan dan guru-guru di TK tersebut.

Kami masuk ke kelas bersama anak-anak TK dan melihat mereka sedang khusyuk mendengarkan penerangan guru mereka. Kami terus diberi amanat untuk mengaturkan agenda kami kepada anak-anak TK tersebut. Kami menggunakan pendekatan bermain sambil belajar dan memperbanyakkan permainan memandangkan situasi mereka yang baru dilanda gempa bumi. Ini adalah merupakan salah satu traumaheling yang dilakukan oleh kami.

Permainan yang kami ketengahkan adalah permainan anak-anak dari Malaysia. Mereka nampaknya seronok dengan aktiviti yang kami jalankan dan memberi komitmen yang bagus kepada kami. Guru-guru mereka pun turut serta dalam aktiviti yang kami jalankan. Saya sendiri mengajar kanak-kanak menyanyi dan melakukan sedikit pergerakan. Selain itu, saya mengadakan sesi bercerita bersama kanak-kanak tersebut. Di samping bercerita, saya mengajukan beberapa soalan dan kepada kanak-kanak yang berjaya kami memberi hadiah berupa jajan. Hal ini adalah untuk membuang rasa takut dalam diri mereka serta membina kembali tahap keyakinan mereka yang hilang. Alhamdulillah, respon yang kami terima daripada kanak-kanak TK tersebut amat memberangsangkan.

Kami berada di sana selama hampir dua jam dan selepas itu kami menyerahkan sedikit sumbangan kepada guru TK tersebut sebagai bahan bantu mengajar dan untuk kegunaan kanak-kanak TK. Sumbangan yang kami berikan berupa buku-buku, boneka dan berus gigi untuk kanak-kanak di situ.

Selepas sesi penyerahan sumbangan, kami bergerak pulang ke Kampung Kukuban dan bersama anak-anak santri. Di pondok pesantren, aktivis-aktivis lain masih mengajar anak santri di dalam kelas. Pada jam 11.25 pagi, saya masuk ke kelas untuk Belajar Adat Minang (BAM) bersama murid-murid tahun 4 seperti yang dijanjikan. Dalam kelas ini saya belajar tentang adat-adat Minangkabau, lagu-lagu rakyat dan asal usul Minangkabau.

Apa yang menariknya tentang asal usul Minangkabau ialah tentang cerita seorang saudagar yang inginkan tanah di Ranah Minang. Setelah itu, dia membuat perjanjian dengan orang kampung untuk membuat pertandingan beradu kerbau. Kerbau yang menang akan mendapat tanah di situ. Kemudian sesi rapat (mesyuarat) diadakan oleh niniak mamak, imam, khatib, cadiak pandai dan bundo kandung. Mereka sepakat untuk menghantar anak kerbau ke pertandingan itu sedangkan saudagar itu menghantar seekor kerbau jantan yang besar dan tanduknya sepanjang 4 meter.

Orang kampung menghantar anak kerbau yang tidak diberi makan selama dua hari. Anak kerbau itu dipakaikan minang (sejenis besi) di kepalanya. Maka, apabila tiba hari pertandingan anak kerbau yang kelaparan itu menyangka kerbau jantan itu ibunya dan terus menyorongkan kepalanya di perut kerbau jantan itu. Jadi, minang kerbau itu tertusuk di perut lantas keluarlah darah yang banyak dan matilah kerbau jantan itu. Orang yang melihat kejadian itu pun bersoraklah, “menang kabau, menang kabau!”. Maka, selepas peristiwa itu Sultan Muhammad Zain, Prof Purbocoroko dan Vandertook mengubahsuai perkataan “menang kabau” itu menjadi “minang kabau”. Dari situlah timbulnya perkataan Minangkabau. Ini adalah berdasarkan apa yang saya pelajari di dalam kelas Belajar Adat Minang (BAM).

Pada masa yang sama juga saya belajar lagu-lagu rakyat minangkabau antaranya ialah ayam den lapeh, minangkabau, dan tanoh nan den cinto. Lagunya bercirikan tempat-tempat istimewa di Ranah Minang. Lagu-lagu ini juga sebagai tanda semangat kecintaan anak muda kepada tanah air mereka terutamanya Ranah Minang. Kelas BAM ini berakhir apabila azan zohor berkumandang. Tidak puas rasanya belajar bersama di dalam kelas ini. Terima kasih kepada guru dan pelajar yang banyak membantu.

Setelah solat zohor, kami para aktivis menyambung pemetaan komuniti dan saya menemani Sarah ke rumah Ibu Nisma untuk sesi temubualnya berkaitan muallaf. Selepas itu kami berhenti rehat untuk solat asar berjemaah di mushalla sebelum menyambung kerja kami. Setelah solat maghrib, hari ini adalah giliran saya menyampaikan kultum untuk sedikit pengisian. Tajuk kultum saya pada hari ini ialah “sombong”. Pengajaran daripada kultum saya ialah kita tidak seharusnya sombong dan takbur dengan nikmat Allah, perbanyakkan amalan sedekah dan sentiasalah beramal di jalan Allah SWT.

Apabila selesai solat isyak, kami makan malam bersama anak-anak pesantren dan terus mengadakan post mortem untuk para aktivis. Pada malam ini, sesi post mortem sedikit berbeza kerana ada sedikit jamuan bagi meraikan ulang tahun salah seorang aktivis. Selepas itu, kami membacakan wasiat masing-masing sebagai persediaan jika berlakunya perkara yang tidak diingini kepada kami. Saya secara peribadinya terharu dan sebak dengan wasiat yang saya tulis. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan jika saya terlebih dahulu meninggalkan dunia ini. Hampir jam 12.00 pagi, para aktivis bersurai dan merehatkan diri.

07/01/2010

Selepas solat subuh, kami para aktivis membuat sedikit persiapan untuk sesi interview bersama Bapak Zainul Arifin, pimpinan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka. Sesi temubual ini berlangsung pada jam 8.00 pagi dan saya merupakan orang yang bertanggungjawab menemubual Bapak Zainul Arifin. Temubual kami lebih terarah kepada asal usul pesantren dan kepimpinan di pesantren itu sendiri. Sesi temubual berjalan dengan lancar dan tamat sekitar jam 9.00 pagi.

Perancangan awalnya kami akan ke tapak asal Pondok Pesantren Prof Dr Hamka. Tetapi terdapat sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menangguhkan pada waktu petang. Jadi, pada pagi itu kami cuba untuk masuk ke kelas dan mengajar anak-anak santri. Ini adalahj merupakan kali pertama bagi saya untuk masuk dan mengajar mereka. Kalau sebelum ini saya sebagai pemerhati dan mengajar di TK, tetapi kali ini saya dapat merasa pengalaman mengajar anak-anak santri tersebut. Mereka lebih suka jikalau mereka diajar melalui acara permainan. Jadi, berbekalkan sedikit pengalaman yang saya ada, saya praktikkan pada waktu itu. Mereka juga mengajar saya erti lagu-lagu minang. Mereka sangat bersungguh menerangkan makna perkataan itu pada saya. Secara tidak langsung saya membenarkan diri saya belajar, diajar dan mengajar.

Selepas solat zohor, kami para aktivis bergerak ke Batu Nanggai untuk melihat keadaan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka yang terlepas dari gempa baru-baru ini. Dalam perjalanan ke Batu Nanggai, kami dapat melihat sisa-sisa gempa yang masih kelihatan di sekitarnya. Masya Allah, jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka jadilah ia. Begitu juga dengan gempa ini. Apabila melihat sendiri kesan-kesan gempa ini, saya terdiam dan berfikir tentang kekuasaan Allah. Bukit-bukau longsor dan rumah ranap ditimpa batu-batuan bukit.

Sesampainya di hadapan Pondok Pesantren, kami dapat melihat dengan jelas kalimah Allah yang terukir pada kesan longsor di bukit-bukit. Semasa kami berada di sana, kami melihat kelompok awan yang terukir kalimah Muhammad. Maha Suci Allah. Itu adalah pengalaman pertama kami berhadapan situasi ini. Kami meneroka kawasan pondok pesantren itu yang masih kukuh berdiri. Menurut Ustaz Nasrullah, salah seorang tenaga pengajar di pondok pesantren, mengatakan bahawa ada satu batu besar yang menghalang longsor dan gempa itu mengenai pondok pesantren tersebut. Dan telah menyelamatkan nyawa anak-anak pesantren pada ketika itu.

Semasa kejadian gempa itu, keadaan seperti berlakunya kiamat. Semua orang berlari bertempiaran menyelamatkan diri. Anak-anak pesantren dikumpul dan mereka diberi khutbah oleh Ustaz Dadun, salah seorang pengajar di pesantren tersebut. Mereka menumpang kenderaan yang lalu lalang untuk ke tempat yang lebih selamat. Alhamdulillah, tidak ada seorang pun yang cedera cuma mereka mengalami trauma yang agak dasyat berkaitan gempa ini. Jika sebelum ini gempa hanya berlaku secara kecil-kecilan tetapi kali ini mereka merasakan seperti berlakunya kiamat. Kebiasaannya, gempa hanya berlaku dalam 10-15 saat tetapi gempa bumi yang dasyat ini mengambil masa selama 30 saat. Hebatnya kekuasaan Allah, dalam masa yang sesingkat itu dapat meruntuhkan bangunan yang ada malahan berlakunya kematian. Jika kita renung-renungkan bagaimanalah nanti kiamat yang sebenar.

Walaupun Pondok Pesantren Prof Dr Hamka masih kukuh tetapi pihak berwajib telah mengeluarkan notis bahawa ia tidak selamat untuk diduduki kerana bimbang akan berlaku longsor susulan. Jadi, mereka terpaksa berpindah ke tempat pengungsian di Daerah Kukuban untuk sementara waktu sebelum Pondok Pesantren Prof Dr Hamka yang baru akan dibina di atas bukit Kuku Gadang. Setelah kami meninjau keadaan pesantren itu, kami berangkat pulang dengan menaiki sebuah van. Sekali lagi kami terpaksa melalui ujian apabila van yang kami naiki itu dipenuhi penumpang yang ingin kembali ke tempat pengungsian. Walaupun terpaksa bersesak-sesak tapi kami redha dan melalui ujian ini dengan tenang.

Kami sampai ke Kampung Kukuban sebelum maghrib dan selepas itu kami bersiap-siap untuk ke mushalla dan berbuka puasa bersama-sama anak santri. Selepas solat maghrib dan isyak barulah kami menjamu selera. Pada malam itu, anak-anak santri mengadakan persembahan dan persembahan seperti ini mereka akan lakukan sebelum mereka bercuti. Pada hari Jumaat, pelajar Pondok Pesantren akan bercuti. Kami juga diberi kesempatan untuk menyampaikan nasihat untuk mereka. Persembahan pada malam itu tamat pada jam 9.30 malam.

Kami para aktivis meninggalkan mushalla itu dan terus menghadiri sesi post mortem untuk keesokan hari. Antara agenda yang kami utarakan pada malam itu adalah mengenai kem kepimpinan yang akan dimulakan pada keesokan harinya. Kami juga membahagikan tugas dan memecahkan aktivis kepada beberapa kumpulan untuk slot keesokan harinya. Antaranya, slot ceramah untuk kaum ibu, slot khutbah Jumaat, dan akhir sekali untuk slot kebersihan untuk anak-anak santri. Saya sendiri telah diberi kepercayaan untuk memberi ceramah kepada kaum ibu. Setelah selesai semua perbincangan, kami bersurai dan menunggu fajar Jumaat menjelma.

08/01/2010

Pada pagi ini, kami para aktivis bersiap-siap seawal jam 8.00 pagi untuk menjalankan tugas yang telah diberi. kelompok untuk member ceramah kaum ibu dan yang akan member khutbah menaika sebuah van ke Batu Nanggai sementara untuk slot kebersihan tinggal di Kukuban. Sepanjang perjalanan ada antara kami yang berbual-bual antara mereka dan ada yang melayan perasaan. Perjalanan yang panjang itu tidak terasa kerana masing-masing sibuk dengan agenda yang tersendiri.

Akhirnya, kami sampai di Batu Nanggai dan singgah di rumah Ustaz Wanto sebelum kami menjalankan tugas kerana Ustaz Wanto yang akan membawa kami ke masjid-masjid yang berkenaan. Di rumah Ustaz Wanto, kami dijemput untuk bersarapan bersama dan terus bertolak ke masjid yang ditetapkan. Bagi aktivis perempuan, kami berpecah kepada dua kumpulan. Saya dan seorang rakan terus ke Masjid di Batu Nanggai dan apabila kami sampai di sana tidak ada seorang pun kaum ibu yang menunggu kami. Jadi, kami berpatah balik ke Masjid Istighfar untuk bersama dengan rakan kami yang seorang lagi.

Sesampainya di sana, rakan kami hampir menyelesaikan ceramahnya dan kami juga diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah kami. Apa yang baiknya, masyarakat di sini amat senang jika mereka diisi dengan ceramah sebegini untuk pembentukan rohani mereka. saya juga sempat member ceramah kepada mereka walaupun ini adalah kali pertama saya mencuba perkara yang sebegini. Akhirnya, majlis ilmu pada pagi itu berakhir sebelum solat Jumaat pada hari itu. Kami bersama-sama isteri Ustaz Wanto kembali ke rumahnya untuk menunggu kaum Adam menyampaikan khutbah dan solat Jumaat. Kerana terlalu penat, kami melelapkan mata untuk seketika di rumah Ustaz Wanto. Selepas merka pulang dari masjid, kami menjamu hidangan tengahari yang disediakan oleh isteri Ustaz Wanto. Menu pada hari itu ialah ikan bakar. Cukup membangkitkan selera kami sampai ada yang bertambah makannya.

Setelah selesai kami bertolak pulang ke Kampung Kukuban menaiki sebuah van yang disewa bersama penduduk kampung yang ingin ke sana. Kami semua berhimpit dan ada antaranya terpaksa duduk di atas bumbung van kerana ruang di dalam tidak mencukupi. Hanya ini sahajalah pengangkutan darat selain ojek untuk penduduk kampung di sini berulang alik dari tempat pengungsian dan rumah mereka.

Perjalanan dari Batu Nanggai mengambil masa selama 30 minit. Apabila sampai di rumah rehat kami menyambung aktiviti kami bersama anak-anak pesantren. Begitulah kerja kami seharian di sana. Kami melakukan banyak kerja dalam satu masa. Jika tidak membuat kajian Hamka, kami akan bersama anak-anak pesantren dan menjalankan aktiviti kami bersama penduduk kampung. Kami menjalankan aktiviti kem kepimpinan bersama anak pesantren.

Pertamanya, ketua kem memberi taklimat ringkas tentang pembahagian kumpulan. Mereka diberi tali benang yang berbeza warnanya. Terdapat lima warna iaitu merah, kuning, hitam, ungu, dan oren. Apabila mereka mendapat warna-warna tertentu, mereka bergerak mencari ahli-ahli kumpulan mereka. Kumpulan saya ialah yang berwarna merah dan diklasifikasikan dengan “Kelompok 5”. Kumpulan saya yang dianggotai oleh Putra Salmon (Emon) sebagai ketua, Doni, Amir, Wahyu, Eka Putra, Ayu, Eldira, Erni, Nova, dan Yus.

Dengan rasa bersemangatnya saya memikul tanggungjawab untuk menjadi fasilitator bagi kelompok 5 ini. Saya dibantu oleh Encik Izwan Suhadak, atau lebih dikenali dengan panggilan Buya Su di kalangan anak-anak pesantren. Sebagai permulaan, kami mulakan dengan sesi taaruf iaitu perkenalan ringkas antara fasilitator dengan peserta. Pada awalnya, saya dapat mengagak yang ahli kumpulan ini pasif dari cara mereka bercakap sesame sendiri. Jika ditanya baru mereka bercakap. Banyak pendekatan yang kami gunakan untuk ‘memecahkan’ tembok itu. Selepas sesi taaruf, kami menyuruh mereka melukis peta kawasan rumah mereka dan menceritakan keistimewaan tempat mereka. di akhir modul ini, kami menjelaskan agar kita perlulah bangga dengan tempat asal kita dan berazam untuk merubah keadaan kampung agar menjadi lebih baik. Selain itu, modul ini adalah salah satu cara mereka melontarkan apa yang terbuku di fikiran mereka dan melatih mereka agar berani bercakap. Selepas beberapa ketika, modul pada petang itu tamat dan sebelum bersurai kami menyuruh mereka membawa tuala atau kain untuk menutup mata pada aktiviti malam nanti.

Pada malam itu selepas solat maghrib dan isyak berjemaah, kami memberi sedikit taklimat tentang aktiviti Kem Kepimpinan yang akan kami lakukan bersama santri. Kami mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar kem yang bakal dilaksanakan mencapai objektif yang kami inginkan. Selepas itu, kami menjalankan aktiviti ‘burung hantu’ bersama peserta kem. Objektif permainan ini ialah untuk merasa keperitan hidup tanpa nikmat penglihatan dan keadaan hidup kita bergantung kepada Allah. Mata peserta ditutup dan mereka dibawa berjalan dalam keadaan mata mereka tertutup. Akhirnya mereka disuruh duduk berseorangan dan mencuba ikhtiar untuk hidup. Permainan ini berakhir pada jam 12.00 tengah malam. Suasana agak menyeramkan juga bagi kami. Anjing-anjing di sekitar itu menyalak dan agak tidak menyenangkan kami. Tapi seperti objektif permainan ini, kami hanya mampu bertawakkal dan berharap agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Tamatnya permainan ‘burung hantu’ itu, maka semua peserta dan aktivis bersurai. Seperti biasa kami adakan sesi post mortem bersama. Selepas taklimat itu, kami belum boleh rehat lagi seperti apa yang selalu diucapkan oleh penasihat kami, “masa ini kita tidak seharusnya rehat kerana rehat itu adalah selepas kita mati. Pada masa itu rehatlah sepuas-puasnya.” Ucapan itu sedikit sebanyak membakar semangat kami untuk terus berjuang. Kami menyuarakan apa sahaja yang dilakukan oleh kami pada hari ini serta program untuk keesokan hari. Selepas sesi post mortem, malam melabuhkan tirai dan kami bersurai.

09/01/2010

Hari ini saya bangun dengan bersemangat untuk ‘melatih anak-anak buah’ saya. Sedikit sebanyak saya suka dengan perubahan yang mereka tunjukkan. Sudah boleh berbual dan bercerita dengan saya walaupun tidak begitu menyeluruh. Pada pagi itu, kami membuat modul pembinaan Bandar. Arahannya begini, setiap kumpulan mestilah merancang apa yang mereka ingin lakukan untuk membangunkan Kampung Kukuban itu. Mereka mestilah menggunakan kreativiti mereka sebagai kumpulan dan melantik seorang wali jorong atau ketua kampung.

Kumpulan 5 membuat satu peta perancangan untuk membangunkan kampung itu. Saya terkejut melihat kemampuan salah seorang daripada mereka melakar idea yang dikumpul oleh setiap ahli kumpulan. Setelah siap hasil lakaran, mereka mengumpul bahan-bahan terpakai untuk membina kampung idaman mereka. Di sini, kita dapat lihat kreativiti mereka dan cara mereka berkomunikasi antara satu sama lain untuk menyeimbangkan kampung mereka. Mereka memberitahu saya yang mereka ingin membina satu Bandar yang membangun tetapi masih mengekalkan ciri-ciri yang sedia ada tanpa memusnahkan keindahan alam itu sendiri. Saya hanya membimbing mereka dan memberitahu apa yang mereka patut lakukan.

Selepas siap pemetaan, mereka dikehendaki menerangkan secara terperinci tentang Bandar yang telah mereka rancangkan. Saya turut bangga dengan hasil pencapaian mereka dan terpegun dengan cara mereka menyampaikan hujah-hujah untuk mempertahankan Bandar mereka. terdapat beberapa perdebatan tentang idea mereka namun itu semua dalam keadaan terkawal. Soalan-soaln yang diutarakan boleh dijawab dengan baik. Satu lagi perkara yang saya dapat perhatikan ialah anak-anak pesantren ini suka bertanya walaupun kadang-kadang mereka sendiri tidak mengetahui apa yang ditnaya. Sebagai contoh, jika saya bertanya, “Baiklah, ada soalan?”. Dalam masa beberapa saat, berduyun-duyun yang mengangkat tangan ingin mengajukan soalan.

Walaubagaimanapun, mereka telah memberikan kerjasama yang baik. Selepas itu, kami berhenti rehat seketika untuk memberi laluan kepada solat zohor dan makan tengahari bersama. Dengan aktiviti ini, sedikit sebanyak kami dapat mengeratkan ukhwah di antara kami. Anak-anak pesantren pun semakin mesra dengan kami dan ini merupakan satu petanda yang baik. Kami para aktivis juga siudah menganggap mereka sebagai keluarga sendiri. Gembira mereka, maka gembiralah kami. Sedih mereka juga akan menjadi sedih kami. Di sana, kami cuba untuk menyelami perasaan dan hidup cara mereka. Dengan cara ini, kami akan dapat merasa sendiri situasi menjadi ‘mereka’ dan akan lebih mensyukuri nikmat kehidupan ini.

Selepas makan tengahari, kami melanjutkan aktiviti kami dengan ‘explorace’. Aktiviti ini agak mencabar kerana mereka tidak pernah menyertai aktiviti sebegini. Aktiviti ini memerlukan kerjasama antara ahli kumpulan menyelesaikan klu yang diberi di setiap check point. Kumpulan yang dapat menyelesaikan klu dengan pantas dan tepat akan dikira sebagai pemenang. Klu-klu yang diberi adalah seperti kuiz matematik, sejarah, pengetahuan am dan sebagainya. Akhirnya, kumpulan saya iaitu kumpulan 5 berjaya memenangi tempat kedua. Satu pencapaian yang bagus buat mereka.

Di akhir permainan itu, mereka dikehendaki berkumpul mushalla untuk sesi yang selanjutnya. Setelah penat berlari ke sana sini, mereka diberi aktiviti santai iaitu menjawab teka teki mudah yang diberi oleh para fasilitator. Setiap kumpulan yang berjaya menjawab akan diberi markah dan akan menambah poin untuk penentuan juara antara kumpulan. Pada saya, aktiviti sebegini harus diteruskan agar para pelajar dapat membuka minda dan berfikir di luar kotak pemikiran mereka. Terdapat sesetengah pelajar yang masih mencari-cari identity mereka jadi dengan aktiviti sebegini sedikit sebanyak merubah perspektif mereka dalam berfikir.

Kami teruskan dengan permainan menyambung peralatan yang ada pada diri. Hal ini adalah untuk melatih pelajar agar bersyukur dengan apa yang kita ada dan tidak melebih-lebih dalam berbuat sesuatu pekerjaan. Banyak perkara yang mencuit hati kami. Sesungguhnya, anak-anak pesantren ini begitu istimewa pada pandangan mata hati saya. Mereka ketawa seperti tidak pernah mengharungi peristiwa hitam dalam kehidupan. Semangat yang ada pada mereka itulah yang mengagumkan saya.

Selepasa itu kami berhenti seketika untuk solat dan makan malam. Selepas solat maghrib dan isyak, kami teruskan dengan modul ‘tik tek toe’ yang mengajak peserta kem untuk bercerita dan melatih mereka mengolah idea secara kreatif. Tapi, pada malam itu, kumpulan saya iaitu ‘kelompok 5’ tidak begitu menyengat. Mereka disuruh bercerita tetapi mereka hanya bercerita di dalam kelompok pemikiran mereka sahaja. Secara keseluruhannya, mereka masih lagi berfikir di dalam kotak pemikiran dan hidup dalam suasana itu sahaja. Ceritanya tidak berkembang dan saya beserta Bbuya Su sendiri merasa ‘blur’ buat beberapa ketika. Namun, suasana itu tidak berlarutan kerana terdapat sebilangan daripada mereka yang mempuyai cara komunikasi dan mengolah cerita dengan baik.

Selepas itu, slot seterusnya diisi dengan pembahagian dan cabutan undi untuk malam ‘luahan jiwa’. Setiap kumpulan diberi lagu bahasa inggeris untuk mereka hafal dan persembahkan. Pada awalnya, mereka agak ragu kerana tidak pernah menyanyikan lagu sebegini. Mereka tidak sedar kebolehan yang ada pada mereka. Hal ini yang kami para fasilitator cuba tonjolkan sebenarnya. Perkara ini adalah untuk melatih mereka dalam penggunaan bahasa inggeris. Kelompok 5 telah mendapat lagu yang bertajuk ‘What Did I Do Today’. Lagu ini menarik untuk dinyanyikan dan berentak laju dan cepat. Selepas beberapa seketika, majlis pada malam itu berakhir dan kami memberi mereka peluang untuk berehat.

Sebelum tidur, kami para aktivis mengadakan sesi post mortem dan sedikit perbincangan mengenai aktiviti keesokan hari. Sebelum jam 11.45 malam, kami bersurai dan tidur.

10/01/2010

Hari ini kami memulakan aktiviti kami dengan riadah ringan. Selepas itu kami membahagikan setiap kumpulan untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar sekolah dan tempat penginapan mereka. Kelompok 5 dibawah seliaan saya dan Buya Su telah mendapat kawasan hadapan mushalla dan kami dikehendaki untuk mengecat pejabat pentadbiran mereka. Saya merasa seronok kerana ini pengalaman pertama saya mengecat. Mungkin kelihatan agak pelik tapi itulah kenyataannya. Ditambah lagi dengan peristiwa yang mencuit hati oleh ahli kelompok 5. Kami selesaikan tugas yang diberi dengan penuh keceriaan dan kesenangan. Bersama dengan kelompok ini telah banyak membentuk saya menjadi individu yang prihatin dan perasaan menjadi mereka itu merupakan kenangan yang tidak akan saya lupakan.

Selepas aktiviti gotong-royong itu, kami membuat latihan untuk persembahan pada malam nanti. Saya dan Buya Su menolong mereka untuk menghafal dan menyebut bait-bait lagu What Did I Do Today. Pada permulaannya, lagu itu senang tetapi lain yang disangka, lain pula yang jadinya. Mereka tidak dapat menangkap perkataan yang dinyanyikan kerana ia berentak laju. Pada mulanya kami ingin menukarnya menjadi satu puisi tetapi melihatkan wajah mereka yang tidak berapa bersetuju, akhirnya saya menukar lagu tersebut.

“I Believe I Can Fly”, itulah tajuk lagu yang saya tukar. Lagunya menarik dan senang untuk dihafal. Saya mula mencoret bait-bait lagu itu di atas papan putih. Mereka mengikut lagu yang saya nyanyikan dan bersetuju untuk lagu yang telah saya pilih. Kami bersama-sama gembira menyanyikan lagu ini dan pelbagai gaya kreatif yang kami lakukan untuk membuat persembahan malam itu menarik. Kami berhenti rehat untuk memberi laluan kepada solat zohor dan makan tengahari. Selepas itu, kami menyambung kembali latihan yang tergendala. Para aktivis juga akan melakukan persembahan khusus untuk anak-anak santri pada malam itu.

Persembahan untuk “Malam Luahan Jiwa” adalah dibawah kendalian saya. Para aktivis dikehendaki membuat puisi sendiri untuk dibacakan kepada anak pesantren. Kami melakukan latihan untuk kami lebih menghayati watak dan tahu apa yang akan kami buat nanti. Saya menyusun kedudukan para aktivis mengikut puisi-puisi mereka. Saya sendiri berada di kedudukan yang ketiga. Kami juga menggunakan system “sound effect” untuk memberi kesan dalam persembahan kami. Sesi latihan itu tamat apabila azan maghrib kedengaran dan kami bersiap-siap untuk solat berjemaah dan aktiviti malam kemuncak Kem kepimpinan itu.

Selepas isyak, kami makan malam bersama dan terdapat selingan tayangan gambar menarik yang dipotret oleh jurufoto kami. Seterusnya, kami berkumpul dan memulakan slot yang telah dirancang. Malam Luahan Jiwa itu telah dipengerusikan oleh Buya Su dan persembahan dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Fuad seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang santri. Majlis diteruskan dengan persembahan setiap kelompok mengikut undian yang telah dicabut oleh ketua mereka. Surprisingly, kelompok 5 telah mendapat undian yang pertama dan bagi saya mereka telah melakuklan yang terbaik. Diawal nyanyian tidak begitu kedengaran tetapi mereka kembali bersemangat apabila tiba bahagian “I believe I can fly,................”. Ketika itu saya merasakan mereka adalah anak buah yang terbaik kerana sanggup mencuba dan ternyata percubaan mereka menghiburkan. Saya bangga dengan mereka.

Terdapat juga beberapa persembahan selingan di antara peserta yang berani tampil kehadapan dan mencuba. Akhirnya, masa yang ditungu-tunggu tiba jua. Persembahan para aktivis. Kami keluar ke hadapan dan mengambil mood untuk memulakan puisi kami. Selepas muzik kedengaran satu demi satu puisi dibacakan dan akhirnya sampailah giliran saya. Walaupun pendek tapi itulah luahan hati saya. Begini puisinya,

Izinkan aku melakar mimpi bersamamu

Menaip bait-bait lagu indah

Tentang cita dan harapan

Agar kita bisa melakar senyuman

Meninggalkan sejarah ngeri semalam

Kita bangkit menganyam harapan baru

Harapan yang bakal menyaksikan

Detik-detik sejarah dalam mimpi kita

Mimpi kau, aku, dan dunia

Izinkan aku bermimpi....

Akhirnya, persembahan para aktivis pada malam itu diakhiri dengan bacaan puisi oleh Buya Su. Kami menitipkan nasihat buat mereka agar terus tabah menjalani ujian hidup dan terus bangkit mengejar cita-cita. Berakhirnya persembahan kami pada malam itu, maka berakhirlah program kami. Semua dibenarkan balik dan berehat. Sebelum tidur, aktivis mengadakan sesi post mertem dan akhirnya melelapkan mata.

11/01/2010

Hari ini saya bangun dengan rasa sedikit sayu kerana hampir meninggalkan Ranah Minang ini. Tapi, saya terpaksa kuatkan hati kerana misi kami belum selesai. Selepas solat subuh, kami telah dijemput oleh pimpinan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka untuk sama-sama membuat sesi temuduga pengambilan guru baru pondok pesantren tersebut. Kami bersama tenaga pengajar diberi taklimat awal dan diagihkan tugas masing-masing. Saya sendiri telah diberi tanggungjawab untuk menjaga bahagian pendaftaran bersama seorang guru mereka. selepas sekian lama menunggu, akhirnya empat orang bakal guru datang mendaftar. Menurut guru tersebut, pihak akhbar tersalah cetak tarikh temuduga tersebut. Mereka juga terpaksa mengadakan satu lagi temuduga pada awal bulan Februari nanti.

Selepas itu, kami para aktivis bergerak ke Muzium rumah Kelahiran Buya Hamka untuk sesi pertemuan bersama Pak Hanif, penjaga Muzium tersebut. Sebelum kedatangan Pak Hanif, kami ke kedai buku berdekatan untuk membeli karya Hamka. Selepas itu, kami ke muzium dan bersama Pak Hanif. Di sana, kami mendengar kisah-kisah Hamka yang begitu menarik diceritakan oleh Pak Hanif. Daripada awal permulaan pengembaraan Hamka dan akhirnya beliau wafat diceritakan oleh Pak Hanif. Kami semua tertarik dengan apa yang disampaikan. Sekali lagi beliau menyampaikan amanat yang pernah diutarakan oleh Hamka kepadanya suatu ketika dahulu. Akhir sekali, kami mengambil gambar kenangan bersama dan berangkat pulang ke Kampung Kukuban.

Selepas solat maghrib, kami dijemput untuk makan malam di rumah Pak Irfan. Menunya sangat menyelerakan. Selepas makan, Pak Irfan sempat menyampaikan amanatnya untuk kami para aktivis. Kami juga sempat mengambil gambar kenang-kenangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Pada jam 9.00 malam, kami berangkat pulang dan sempat juga singgah di rumah keluarga angkat sebelum kami pulang ke Malaysia keesokan hari.

Sesampainya di rumah persinggahan, kami mengemaskan barang kumpulan kami dan mengadakan sesi post mortem luahan perasaan aktivis sepanjang ekspedisi ini. Ada di antara kami yang merasaka perubahan terbesar telah berlaku di dalam kehidupannya. Saya sendiri telah mendapat banyak pengalaman berharga sepanjang ekspedisi ini yang tidak akan mungkin saya dapat di tempat lain. Di sini, saya membenarkan diri saya belajar, mengajar, dan diajar. Saya dapat merasakan keperitan dan kesusahan hidup anak-anak santri tapi berbekalkan semangat dan kecekalan hidup, mereka dapat meneruskan kehidupan tanpa keluhan. Selain itu, saya juga belajar bagaimana untuk bergaul dengan masyarakat setempat dan Alhamdulillah saya dapat merasakan minda saya terbuka luas untuk melalui fasa perubahan, dari yang buruk kepada yang lebih baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

12/01/2010

Hari ini kami akan berangkat pulang ke Malaysia. Sayu terasa meninggalkan mereka yang sudah berada dekat di hati. Keluarga angkat yang sudi menerima diri, anak-anak santri yang seperti adik-adik sendiri dan tidak lupa juga buat rakan seperjuangan yang tidak jemu menegur kelemahan diri. Kasih sayang yang telah kalian berikan membuat saya semakin berat hati untuk melangkah pergi. Selepas solat subuh berjemaah, kami membuat persiapan terakhir dan mengemas apa yang patut.

Anak-anak pesantren datang ke rumah rehat kami dan membantu kami. Sesungguhnya jasa kalian akan kakak kenang sampai bila-bila. Hati saya dipagut kesayuan apabila mengucapkan salam perpisahan kepada ibu angkat saya. Ucapannya agar kami tidak melupakannya sangat menyentuh perasaan saya. Bersama mereka terasa seperti berada di rumah sendiri dan berada di kelompok ahli keluarga sendiri. Kasih sayang seorang ibu jelas terpancar di raut wajahnya. Ibu, terima kasih atas segala-galanya.

Selepas menjamah sedikit sarapan, kami berangkat pergi meninggalkan Kampung Kukuban dengan rasa berat hati. Semoga kalian tidak putus harapan dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan bersama. Kami akan sentiasa merindui dan mendoakan kalian. Buat adik-adikku, kuatkan semangat dan teruslah mengejar impianmu. Doa kami mengiringi kalian. Kami menaiki dua buah kereta untuk ke Bandara Minangkabau, Padang.

Tetapi sebelum itu, kami ke Pasar Maninjau untuk bersarapan dan membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang. Selepas itu kami bergerak lagi meninggalkan Maninjau dengan 1001 kenangan manis. Kami melalui Kelok 44 dan ada yang mabuk sepanjang perjalanan kami. Akhirnya, kami sampai di Bandar Udara Minangkabau, Padang, Indonesia pada jam 12.30 tengahari dan kami berlepas pada jam 3.30 petang. Kami tinggalkan Padang dengan harapan agar mereka teruskan perjuangan dan pelbagai kenangan terindah.

Sekian, terima kasih.